Artikel

10 Langkah Kearah Kerajaan ‘Citizen Centric’

Transformasi menyeluruh kearah kerajaan yang berpaksikan rakyat (citizen centric) tidak berlaku dengan mudah. Kerjasama antara jabatan-jabatan atau agensi-agensi kerajaan bagi tujuan ini akan mengambil masa, kerja keras dan visi yang selaras demi masa depan yang lebih baik. Untuk menuju kearaj kerajaan yang berpaksikan rakyat, jabatan dan agensi kerajaan haruslah mengambil sepuluh langkah-langkah yang berikut:

1. Bina strategi bagi menghubungkan operasi dengan teknologi

Dalam semua projek, mengenalpasti hasil yang dikehendaki dari operasi yang akan dijalankan adalah langkah pertama yang perlu diambil. Inovasi teknologi harus dimulakan dalam skala kecil yang boleh dikembangkan bagi memastikan matlamat operasi boleh dicapai. Ia memerlukan strategi 3-5 tahun untuk memastikan jabatan atau agensi mempunyai belanjawan dan komitmen untuk melihat transformasi yang lebih meluas secara progresif. Strategi ini juga harus mengambil kira inovasi teknologi luaran yang akan mempengaruhi apa yang diharapkan oleh rakyat dari kerajaan dari masa ke semasa.

2. Fokus pada hasil

Objektif kerajaan yang berpaksikan rakyat adalah bagi menyampaikan perkhidmatan yang berguna untuk rakyat. Untuk menjamin perkhidmatan ini berjaya disampaikan, jabatan dan agensi kerajaan mesti beralih dari organisasi yang mengutamakan pandangan dalaman kepada organisasi yang memfokuskan perhatian pada hasil yang akan disampaikan.

3. Gunakan Reka Bentuk IT Standard

Jabatan dan agensi sentiasa mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk semua proses dan perkhidmatan yang disampaikan. SOP ini perlu dipadankan juga dengan Reka Bentuk IT Standard. Standard ini akan memastikan setiap perkhidmatan mengunakan teknologi dengan cara yang seragam, memudahkan seni bina sistem IT dan mewujudkan pengalaman pengguna yang konsisten untuk rakyat.

4. Reka sistem bagi data berstruktur dan tidak berstruktur

Data boleh didapati di mana-mana pada masa ini: tidak hanya dalam pangkalan data berstruktur tetapi data juga boleh didapati dalam bentuk video, audio malah juga dalam media sosial. Kerajaan mesti menyesuaikan diri dengan teknik analisis baru bagi membina aplikasi berpaksikan rakyat yang dapat memanfaatkan set data yang berkualiti sama ada berstruktur atau tidak.

5. Menerbitkan data terbuka secara konsisten dan berkualiti

Data terbuka untuk penggunaan pihak ketiga haruslah sentiasa boleh diharap dan dipercayai. Untuk mencapai ini, data harus berkualiti dan konsisten dalam format, nilai dan hubungan pada seluruh set data. Sebagai contoh, nama pengguna dan alamat kediaman mereka mestilah dalam format yang sama pada setiap set data pada semua data-data yang diterbitkan secara terbuka. Satu standard seragam untuk semua data terbuka perlu diwujudkan bagi menjaga kualiti data secara konsisten.

6. Buat keputusan berpandukan analisis data

Dengan menjadikan analisis data termaju sebagai elemen penting dalam proses membuat keputusan, penjawat awam perlulah memastikan semua data yang mereka perlukan tersedia sebagai paduan sebelum merangka perkhidmatan kepada rakyat. Ketersediaan data ini akan membolehkan proses yang diambil menjadi lebih cepat dan optimum.

7. Kembangkan perkhidmatan bersepadu mendatar

Jabatan dan agensi kerajaan cenderung memberikan perkhidmatan secara silo walaupun dalam jabatan atau agensi yang sama. Ini mengakibatkan, penyimpanan dan penggunaan data secara tidak konsisten. Dengan mengembangkan perkhidmatan secara bersepadu mendatar, data-data penting boleh disepadukan kepada semua bahagian dalam jabatan atau agensi yang sama berdasarkan keperluan semasa. Malah perkhidmatan dengan data bersepadu ini juga membolehkan sebahagian data dikongsikan kepada jabatan dan agensi luar yang berkaitan.

8. Jadikan perkhidmatan lebih diperibadikan dan proaktif

Setiap permintaan, penilaian dan keputusan bagi semua perkhidmatan harus dipertimbangkan dari sudut pandang rakyat. Kerajaan mesti mengembangkan perkhidmatan yang mengikut keperluan setiap kelompok masyarakat yang berbeza. Kerajaan perlu lebih proaktif untuk memahami dan mengenal pasti keperluan masyarakat yang berbeza mengikut kelompok yang tertentu bagi memberikan perkhidmatan yang berpaksikan rakyat.

9. Terapkan pendekatan holistik terhadap keselamatan

Keselamatan dan perlindungan data rakyat adalah sangat penting. Oleh kerana data sering disimpan di pelayan yang tersambung ke internet, ancaman kebocoran adalah signifikan, jadi kerajaan harus mengambil pendekatan holistik termasuk perlindungan, pengesanan dan respons, dan pemulihan terhdap data yang penting ini. Pendekatan holistik terhadap keselamatan data ini adalah penting bagi memberi keyakinan kepada rakyat terhadap data-data peribadi mereka.

10. Menyeragamkan penyelesaian IT di bawah infrastruktur hibrid

IT infrastuktur lama yang stabil tidak cukup bagus untuk dunia yang kini semakin progresif. Infrastuktur IT lama yang berfungsi secara silo tidak lagi mampu untuk memenuhi kehendak semasa rakyat. Persekitaran IT kerajaan yang berpusat pada rakyat juga perlu lebih fleksibel dan pantas mengikut kehendak semasa. Kerajaan perlu beralih ke infrastuktur hibrid yang menggabungkan sistem terdahulu (legacy system) yang dioptimumkan dengan penyelesaikan pihak ketiga yang lebih moden dan pada masa yang sama tidak melibatkan kos yang tinggi.

Seperti yang dinyatakan pada langkah pertama, strategi berkesan perlu dirancang bagi mengoptimumkan operasi dengan inovasi teknologi terkini. Bermula dengan langkah pertama ini, dan seterusnya mengambil langkah kehadapan satu persatu, kerajaan boleh bergerak secara konsisten kearah kerajaan berpaksikan rakyat sepenuhnya.

Related posts
Artikel

5 Ciri-Ciri Perkhidmatan ‘Citizen Centric’

Artikel

Apa Itu ‘Citizen Centric’

Dapatkan berita terbaru terus ke e-mel anda