Berita

Semua Bayaran Perkhidmatan Kerajaan Dibuat Secara Tanpa Tunai Bermula 2022

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF), menerusi inisiatif MyDIGITAL, akan memastikan pembayaran bagi semua perkhidmatan kerajaan akan dibuat secara tanpa tunai menjelang 2022, kata menteri berkenaan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata pembayaran tanpa tunai akan membawa kepada keselamatan transaksi yang lebih tinggi, koordinasi lebih baik, selain menambah baik komunikasi inisiatif anti rasuah serta perkongsian maklumat yang lebih mudah.

“Setakat akhir tahun lepas, 60 peratus daripada kutipan bayaran keseluruhan kerajaan adalah menerusi e-pembayaran,” katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Institut Akauntan Malaysia (MIA) 2021 yang dianjurkan secara maya.

MyDIGITAL menggariskan rancangan untuk mempercepat pencapaian Malaysia sebagai negara ekonomi maju dari segi teknologi, melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

MyDIGITAL adalah satu inisiatif negara yang melambangkan aspirasi kerajaan untuk mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan teknologi dan pendigitalan, serta sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital.

Tengku Zafrul menjelaskan, kerajaan bekerja keras tanpa henti untuk memastikan urus tadbir yang baik, penyampaian perkhidmatan awam lebih cekap dan berkesan di samping membanteras kebocoran, penipuan dan rasuah.

Beliau berkata sehingga kini, kerajaan menggalakkan pendigitalan dalam pelbagai aspek termasuk pemodenan penyampaian perkhidmatan awam dan dalam usaha membendung rasuah, memandangkan tindakan penting itu akan mengurangkan titik hubungan langsung di antara pihak awam dengan pegawai atau kakitangan kerajaan.

Kerajaan juga telah beralih kepada sistem kad pengenalan elektronik dan pengesahan identiti secara biometrik bagi pengesahan diri orang ramai, yang mempercepat bantuan kerajaan secara langsung untuk memastikan keterangkuman, kebolehcapaian, ketelusan dan kebertanggungjawapan.

Setakat ini, bantuan langsung kebanyakannya dilakukan tanpa menggunakan tunai dengan permohonan dan pembayaran untuk Bantuan Prihatin Rakyat dan Geran Khas Prihatin dibuat secara elektronik dan dalam talian.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut merakamkan penghargaan kepada MIA dan profesional perakaunan di atas usaha berterusan menyokong perniagaan terutama sewaktu tempoh mencabar ini.

Katanya, ia termasuk memberi nasihat kepada syarikat mengenai aliran tunai serta pengurusan strategik dan kewangan.

“Mengingatkan syarikat mengenai pelbagai skim bantuan dan bantuan yang disediakan dari pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kerajaan, serta menyediakan sumber dan komunikasi COVID-19 yang khusus.

“Memberi kesedaran mengenai impak bantuan dan pakej rangsangan ekonomi ini kepada profesion dan perniagaan perakaunan, terutama mengenai bagaimana mereka harus bertindak balas.

“Yang terakhir, menggunakan alat dan latihan yang membantu perniagaan menjadi lebih produktif dan berkesan,” katanya.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari kali ini buat pertama kalinya dianjurkan secara maya  bertemakan ‘Mengemudi Masa Depan Mampan dengan Kecekapan dan Daya Tahan’ (Navigating a Sustainable Future with Agility and Resilience).

Ia bertujuan meningkatkan kemahiran akauntan dengan kecekapan yang relevan untuk masa depan bagi menyokong dan mendorong agenda kelestarian global dengan memanfaatkan kecekapan dan etika teras profesion untuk merangsangkan kesinambungan dan kelestarian perniagaan, penyelesaian iklim dan pemerkasaan digital.

Kami sebagai sebuah syarikat teknologi maklumat menyokong penuh inisiatif yang akan dilakukan oleh pihak kerajaan Malaysia bagi merealisasikan Rangka Tindakan Ekonomi Digital (MyDIGITAL) dengan unsur bayaran perkhidmatan tanpa tunai menjelang 2022 akan datang. Oleh itu, kami ingin mengambil pendekatan ini untuk berkongsi dengan agensi kerajaan mahupun swasta untuk bersama-sama melakukan sepenuhnya perkhidmatan atas talian bagi memudahkan keseluruhan rakyat Malaysia. Anda dijemput hadir untuk ke webinar ‘Sistem Pengurusan BORANG’ kerana kami akan berkongsi cara membina perkhidmatan atas talian dengan lebih mudah, cepat dan jimat. Pendaftaran boleh dilakukan segera disini.

Kredit Gambar dari BERNAMA

Related posts
Berita

Kerajaan Lancar Dasar 4IR Bagi Memacu Transformasi Sosioekonomi Dengan Teknologi Termaju

Berita

Pusat Data Serantau Microsoft Bakal Wujud 19,000 Peluang Pekerjaan

Berita

Perkhidmatan Awan Dan Keselamatan Siber Bantu Kerajaan Perluaskan Perkhidmatan Pintar

Berita

MyDIGITAL Akan Mewujudkan Malaysia Digital Sepenuhnya Menjelang 2030

Dapatkan berita terbaru terus ke e-mel anda